Noriah - Tabah Hadapi Kanser Payu Dara
SETIAP insan didunia ini pasti mengharapkan kesenangan dan kebahagiaan bukan sahaja dari segi wang ringgit, harta benda, bahkan kesihatan yang baik. Pun begitu apalah gunanya wang ringgit, jika menderita penyakit yang menganggu kehidupan. Sebaliknya selagi hayat ada kita perlu ada kekuatan untuk meneruskan hidup.
Noriah Abdul Zarim, 53, antara insan yang tabah dan sanggup bangkit semula untuk terus hidup setelah melalui detik-detik cemas dalam hidupnya.
``Saya bersyukur kerana masih dipanjangkan usia hingga ke hari ini. Walaupun harapan terlalu tipis untuk saya kembali kepada kehidupan normal, sedikit sebanyak kekuatan yang dimiliki memberi ruang untuk saya meneruskan hidup. Syukur sokongan keluarga dan rakan-rakan membuatkan saya masih berdiri di sini,'' kata Noriah yang juga bekas pesakit kanser payu dara ketika ditemui pada majlis penyerahan mesin Ultrasound oleh Avon Malaysia kepada Hospital Putrajaya, baru-baru ini.
Noriah yang bertugas di Avon Malaysia sejak 7 tahun lalu, dikesan menghidap penyakit kanser payu dara sejak September tahun lalu.
Menceritakan pengalaman, petugas di bahagian pengangkutan itu mengakui segala-gala yang dilalui ibarat mimpi ngeri. Dunia ini katanya, ibarat sudah sampai ke penghujung sebaik sahaja doktor memberitahu dia menghidap kanser.
Kata Noriah, ketika itu dia hanya membayangkan kematian setelah doktor menyatakan, kanser yang dihidapinya berada pada tahap kritikal. Menurut Noriah, tidak ada tanda-tanda awal dia diserang kanser payu dara kerana dia tidak sedikit pun merasa sakit.
Penyakitnya mula dikesan apabila pada satu hari dia diserang demam berpanjangan. Entah mengapa hatinya tergerak untuk berjumpa doktor dan bertanyakan apakah masalah yang sedang dihadapi.
``Selepas membuat pemeriksaan, doktor mengesahkan ia adalah kanser dan saya dinasihatkan membuang sebelah payu dara.
``Saya masih ingat ia berlaku pada September tahun lalu. Ketika itu hanya Tuhan yang tahu perasaan saya, sedih sekali,'' ujarnya yang mengaku telah menjalani beberapa rawatan termasuk radioterapi dan kimoterapi sepanjang tempoh tersebut.
Kini dia hanya perlu mengikuti rawatan susulan bagi memastikan kanser itu tidak merebak ke bahagian lain.
Noriah yang belum berumah tangga berkata, bahan bacaan banyak membantunya memulihkan semangat dan menjalani kehidupan baru lebih cerah. Paling tidak dilupakan sepanjang menjalani rawatan selama beberapa bulan di Pusat Perubatan Selangor (SMC), dia tidak bersendirian. Begitu juga ketika menerima rawatan di Hospital Assunta, Petaling Jaya, ahli keluarga serta rakan-rakan sekerja sering melawatnya.
Dengan sokongan dan nasihat yang tidak berbelah bahagi semua pihak, Noriah mengumpul semangat dan kekuatan diri untuk melawan penyakit yang dihidapinya.
``Sokongan dan layanan keluarga dan rakan-rakan menjadikan saya terasa masih dihargai dan diperlukan. Malah ia meniup semula semangat saya untuk kembali menjalani kehidupan seperti orang lain,'' ujarnya yang turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Avon Malaysia yang menanggung kos rawatan sepenuhnya.
Setelah lebih enam bulan menjalani rawatan, Noriah kembali bertugas dengan kekuatan dan semangat baru.
``Percayalah, jika kita yakin kepada Allah s.w.t., kita akan memperoleh apa sahaja yang kita ingini. Begitu juga dengan kekuatan yang dikurniakan kepada saya ketika ini', `' ujar Noriah. Noriah berkata, mengikut apa yang diketahui melalui bahan bacaan juga jika seseorang itu bebas daripada serangan kanser dalam tempoh lima tahun selepas pembedahan, bermakna kesihatannya lebih terjamin.
Bagaimanapun, dalam tempoh dua tahun daripada tarikh pembedahan itu, dia diwajibkan menjalani rawatan sebulan sekali, diikuti tiga bulan sekali dalam masa tiga tahun dan selepas empat tahun hanya setahun sekali dan kemudian lima tahun.
``Apa yang diharapkan saya akan pulih sepenuhnya dan dapat meneruskan kehidupan normal seperti orang lain,'' ujarnya.
Sementara itu penyerahan mesin dilakukan sendiri oleh Presiden Avon Malaysia, Mansoor Wan Abdullah kepada Pengarah Hospital Putrajaya disaksikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Chua Soi Lek.
Avon telah memulakan memerangi kanser payu dara sejak lebih 10 tahun yang lalu. Pada tahun 2002, kempen ini diperhebatkan lebih melalui pelancaran Kiss Good Bye To Breast Cancer atau KGBC. Melaluinya sebanyak RM250,000 berjaya dikumpul melalui penjualan Edisi Khas KGBC Gincu Bibir dan berjaya membeli satu Sistem Biopsi Payu dara Mammmotome.