Wanita Mingguan menyediakan info kesihatan luar dan dalaman untuk wanita perihatin

Dikuasakan oleh Blogger.

Search This Blog

Ibu Tunggal

Ibu Tunggal

Kewanitaan:
Ibu Tunggal
Mengikut Laporan Banci tahun 2000, terdapat seramai 620,389 ibu tunggal berbilang bangsa di negara ini. Kira-kira 529,701 (85.4 peratus) daripada mereka telah kematian suami manakala 90,688 (14.6 peratus) lagi telah bercerai.

Para ibu tunggal berhadapan dengan pelbagai cabaran. Dari segi ekonomi, rata-rata ibu tunggal menjadi lebih miskin berbanding ketika bersuami. Keadaan ini lebih buruk lagi bagi wanita yang sebelum ini merupakan suri rumah tangga sepenuh masa.

Walaupun keluarga yang ideal merupakan keluarga lengkap yang terdiri dari suami, isteri dan anak-anak, namun Islam tidak melihat keluarga ibu tunggal sebagai keluarga yang tidak normal. Tiada ayat al-Quran mahupun hadis yang menyatakan demikian. Sebaliknya, bentuk keluarga ini, khususnya yang berpunca dari kematian pasangan, mendapat perhatian yang istimewa dari Allah. Betapa tidak, dari segi ekonomi terdapat pelbagai perintah yang ditetapkan demi menjaga kebajikan para balu dan anak yang ditinggalkan merangkumi perwarisan harta, larangan memakan harta anak yatim, kepentingan bersedekah kepada anak yatim, keperluan melayan anak yatim dengan baik dan seumpamanya.

Dalam kes perceraian, Allah telah menetapkan bahawa bekas suami perlu memberi mutaah dan nafkah iddah kepada bekas isteri manakala nafkah anak-anak wajib dibayar oleh si bapa sehingga anak-anak itu boleh berdikari. Bagi wanita itu pula, setelah habis iddah, tanggungjawab nafkahnya akan kembali kepada warisnya. Begitulah cantiknya peraturan dan perancangan Allah. Malangnya, realiti kehidupan banyak keluarga ibu tunggal adalah tidak secantik yang telah disyariatkan.

Bagi para janda pula, dari segi ekonomi, ada suami yang sengaja mengingkari perintah membayar nafkah iddah. Malah, ada suami yang terus menghalau isteri keluar dari rumah dalam masa iddah sedangkan isteri masih ada hak. Begitu juga dengan nafkah anak. Bagi yang membayar pula, ada yang membayar dengan jumlah yang tidak munasabah dan ada juga yang tidak membayar secara tetap. Ini menjadikan kedudukan kewangan bagi keluarga ini tidak stabil.

Walaupun Islam melarang kita melabel sesama manusia, stigma tetap melanda keluarga ini. Wanita yang diceraikan sering dilabel sebagai tidak pandai jaga suami tanpa memikirkan kemungkinan si suami yang gagal melaksanakan tanggungjawabnya. Janda tidak dilihat sebagai calon isteri yang baik tetapi duda sering kali dilihat dengan pandangan sebaliknya. Stigma-stigma seperti ini menyukarkan para ibu tunggal untuk meneruskan hidup. Beban peranan akibat diceraikan sering kali ditanggung sendiri oleh ibu tunggal melainkan mereka kembali ke pangkuan keluarga asal. Namun, nilai-nilai keluarga Islam yang semakin terhakis kadangkala tidak memberikan pilihan ini kepada para ibu tunggal.

Mengapa wujud jurang yang amat ketara antara ideal yang ditetapkan oleh Allah dan realiti umat Islam? Dalam hal ibu tunggal ini sahaja, ternyata banyak perintah Allah dalam al-Quran yang merupakan panduan untuk kita menangani persoalan ini, telah gagal dipatuhi. Jadi, tidak hairanlah mengapa ramai ibu tunggal yang hidup dalam kesusahan. Jika kita mahu menangani masalah ini dengan baik, kita perlu kembali kepada ajaran Islam. Setiap orang yang bertanggungjawab terhadap ibu tunggal dan anak-anaknya - perlu melaksanakan tanggungjawab tersebut. Jika kita mengenali seorang ibu tunggal, tanyakan pada diri apakah hubungan kita dengannya. Semakin dekat dan rapat hubungan tersebut, semakin besarlah tanggungjawab yang perlu kita laksanakan. Untuk mengetahui apakah tanggungjawab tersebut, rujuklah kepada al-Quran dan sunnah atau bertanya kepada orang yang lebih arif. Ini untuk mengelakkan dari ditanya di akhirat kelak tentang mengapa kita mensia-siakan orang di bawah tanggungjawab kita.

Sumber:www.ikim.gov.my/bm/media/2004-utusan/a04-um24.htm

Catatan Yang Ditampilkan

Sitemap

Back To Top